18 November 2009

CAKAP-CAKAP..

Keperibadian seseorang dinilai melalui banyak perkara seperti tingkah laku, cara percakapan, pemikiran dan nilai-nilai peribadi lain. Bagaimanapun banyak pihak berpendapat antara yang paling ketara dinilai ialah berkaitan percakapan, memandangkan ia adalah pancaindera paling banyak digunakan untuk berhubung dan turut memberi gambaran mengenai nilai diri seseorang.

Individu yang bijak sentiasa menjaga tutur katanya agar tidak dinilai kurang sopan, tidak bijak dan banyak lagi gambaran buruk yang lain. Pepatah kita ada menyebut: kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana.
Malangnya terdapat individu yang tidak berhati-hati ketika bercakap seperti tidak merasa apa-apa kesalahan mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan atau mendatangkan keburukan kepada individu lain. Malah tidak keterlaluan dikatakan ada yang berbangga dirinya dilabelkan mempunyai gaya percakapan yang buruk atau dikatakan tidak sayang mulut.



Individu yang mengeluarkan perkataan tidak baik merasakan dirinya hebat dan tidak takut implikasi perkataan yang diucapkan kerana yakin tidak ada pihak lain yang akan berani menyalahkan perbuatannya itu. Malah dengan menggunakan kedudukan atau pengetahuan dalam undang-undang dijadikan alasan bahawa apa yang diucapkan itu tidak salah atau tidak boleh dipersalahkan.


Sebenarnya tidak ada orang yang suka kepada mereka yang suka lepas cakap tanpa memikirkan perasaan dan kesan kepada orang lain. Biarpun dikatakan lidah tidak bertulang, tetapi di lidahlah selalu terlekat tulang dan terluka.

Mengapa kita perlu meraih populariti dengan cara ‘suka-suka cakap’ dan menjadi senjata memburuk-burukkan pihak lain, sedangkan diri sendiri sentiasa kelihatan tidak sempurna akibat lepas cakap yang dilakukan.

Individu berperibadi mulia akan sentiasa mengucapkan perkataan yang baik dan memberi manfaat kepada orang lain kerana tutur kata yang baik diumpamakan seperti mutiara yang disukai semua orang. Tutur kata yang baik menarik minat orang lain mendengarnya dengan perasaan ceria dan kagum.


Nenek moyang kita mengajar agar sentiasa berbudi bahasa, biarpun terhadap seseorang yang ingin ditegur kesilapannya atau orang buruk pekertinya. Orang Melayu biasanya menggunakan bahasa kias untuk menegur atau memperkatakan sesuatu yang tidak pasti.

Bahasa kias bermakna perkataan disebutkan tidak terus tetapi membawa maksud kepada apa yang hendak diucapkan. Maksud tersirat dalam bahasa kias amat kuat kesan di sebaliknya. Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa.

Kita sebenarnya perlu mementingkan penggunaan bahasa sopan di semua pringkat, terutama mereka yang bergelar pemimpin kerana apa yang mereka lakukan sentiasa menjadi perhatian  dan mudah menjadi ikutan. Tidak kira apapun keadaan dan perasaan yang  ingin diluahkan, mengucapkan kata-kata mencarut, kasar dan tidak bermoral akan mencerminkan sikap buruk penuturnya.


Dalam budaya kita, anak-anak sentiasa diajar dan diingatkan agar bersopan santun dalam bertutur. Aspek ini diberi perhatian sejak anak masih kanak-kanak kerana ia menjadi antara asuhan budi paling penting diterapkan di dalam diri kanak-kanak. Sebab itu, ibu bapa akan malu jika anak-anak menggunakan perkataan biadab dan menghina yang melambangkan kurang ajar dan keadaan itu sudah pasti dikaitkan dengan ibu bapa. Rasa malu dan aib itu bertambah-tambah lagi jika perbuatan itu dilakukan di khalayak ramai.

Penggunaan bahasa sopan bermaksud tanda hormat terhadap orang yang dilawan bercakap atau mendengarnya. Sifat hormat menghomati  banyak kebaikannya. Ini dapat mengelak salah faham dan perasaan tidak senang hati pihak lain jika perkataan kasar yang digunakan dianggap tanda penghinaan.


Kata pepatah, ‘kata itu lebih tajam daripada mata pedang’ dan ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata merosakkan badan’. Seringkali ada orang menerima kesusahan disebabkan perkataan buruk yang diucapkan kerana tidak berhati-hati ketika bercakap. Akibat sepatah perkataan yang diucapkan boleh membawa kepada kerugian dan penyesalan seumur hidup.

Sebab itu, berfikirlah dengan teliti sebelum bercakap sesuatu perkara yang mengundang rasa marah pihak lain. Lebih baik kita dipandang tidak lancar bercakap, daripada terlepas cakap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan